Pendaftaran
P.U. (A) 500
9. (1) Jika Pihak Berkuasa berpuas hati bahawa semua kehendak bagi pendaftaran badan penilaian pematuhan telah dipenuhi, Pihak Berkuasa hendaklah menimbangkan permohonan itu dan boleh meluluskan atau menolak permohonan itu dan hendaklah memberitahu pemohon secara bertulis keputusannya.
(2) Fi yang kena dibayar bagi pendaftaran badan penilaian pematuhan hendaklah sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Kelima.
(3) Pihak Berkuasa hendaklah mendaftarkan badan penilaian pematuhan dan menyimpan badan penilaian pematuhan itu dalam Daftar bagi tempoh tiga tahun dari tarikh pendaftaran melainkan jika pendaftaran itu dibatalkan oleh Pihak Berkuasa sebelum habis tempohnya. Pembatalan pendaftaran
10. (1) Pihak Berkuasa hendaklah memberitahu badan penilaian pematuhan berdaftar, secara bertulis, tentang pembatalan pendaftaran suatu peranti perubatan.
(2) Badan penilaian pematuhan berdaftar boleh mengemukakan, secara bertulis, suatu tunjuk sebab terhadap pembatalan itu dalam masa tiga puluh hari daripada tarikh penerimaan pemberitahuan.
(3) Badan penilaian pematuhan berdaftar boleh meminta bagi suatu pelanjutan masa untuk mengemukakan tunjuk sebab secara bertulis sebagaimana yang dikehendaki di bawah subperaturan (2).
(4) Pihak Berkuasa hendaklah menimbangkan permohonan bagi pelanjutan masa sebagaimana yang diminta oleh pemohon di bawah subperaturan (3) dan boleh meluluskan atau menolak permohonan bagi pelanjutan masa dan hendaklah memberitahu pemohon secara bertulis keputusannya.
(5) Jika Pihak Berkuasa berpuas hati bahawa pendaftaran itu hendaklah dibatalkan, Pihak Berkuasa hendaklah memberitahu, secara bertulis, badan penilaian pematuhan berdaftar keputusannya untuk membatalkan pendaftaran itu.
(6) Jika suatu pendaftaran dibatalkan oleh Pihak Berkuasa menurut subperaturan (1), badan penilaian pematuhan berdaftar itu hendaklah memulangkan perakuan kepada Pihak Berkuasa dalam masa empat belas hari selepas diberitahu secara bertulis pembatalan itu.
(7) Mana-mana badan penilaian pematuhan berdaftar yang melanggar subperaturan (6) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.