Bagi sesetengah pihak, merokok umpama makanan harian yang tidak dapat dipisahkan. Ada juga dalam kalangan mereka yang mengaitkan perbuatan menghisap rokok sebagai status yang menunjukkan seseorang individu tersebut telah matang atau sebagai melambangkan imej yang bersifat kemegahan. Biar apapun pandangan dan pendapat daripada individu tersebut, seluruh makhluk yang mampu berfikir dengan waras tetap berpandangan bahawa perbuatan menghisap rokok adalah sesuatu yang perlu dielakkan kerana perbuatan ini merupakan satu pembaziran wang secara jelas, apatah lagi dengan kenaikan harga rokok yang melambung tinggi. Rokok yang dibakar adalah umpama membakar wang kertas yang sepatutnya dapat digunakan untuk tujuan lain yang lebih berfaedah.
Ramai sedia maklum bahawa menghisap rokok menjadi punca pada pelbagai penyakit yang digolongkan dalam kategori penyakit berbahaya. Antaranya, penghisap rokok terdedah pada penyakit kanser paru-paru dan penyakit jantung. Kedua-dua penyakit berbahaya ini telah diisytiharkan sebagai pembunuh nombor satu negara. Perokok bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri malah pada masa yang sama turut membahayakan kesihatan keluarga mereka dan orang lain di sekeliling mereka. Asap rokok yang dikeluarkan setelah dihisap adalah lebih berbahaya kepada orang lain dan kesannya adalah sama dengan siperokok.
Bau busuk yang dikeluarkan oleh penghisap rokok juga boleh mengganggu keselesaan orang lain sehingga dapat menjejaskan pergaulan siperokok dengan orang lain. Hal ini sudah pasti akan menimbulkan suasana yang kurang selesa malah menjejaskan komunikasi seseorang. Bayangkanlah jika anda terpaksa berhadapan dengan siperokok dalam suasana tempat menjamu selera tertutup dan berhawa dingin! Oleh itu, kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang bagi melarang orang ramai menghisap rokok ditempat-tempat awam dan di premis-premis kerajaan.
Bagi siperokok, masalah yang timbul ialah mereka akan menghadapi gejala ketagihan yang bukan mudah untuk diatasi. Hanya dengan usaha dan azam yang kuat sahaja perlakuan ini mampu dibanteras tetapi menurut kajian yang dijalankan oleh FOMCA hanya 12 peratus sahaja daripada jumlah yang ingin berhenti merokok mampu berbuat demikian. Sementara itu, pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia menganggarkan jumlah kebakaran yang disebabkan oleh api rokok di negara kita mencecah hampir 23 peratus daripada punca kebakaran yang berjaya diselesaikan. Hal ini berpunca daripada sikap perokok yang suka membuang puntung rokok di merata-rata tempat.
Natijahnya, merokok bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan. Bukan juga simbol yang menunjukkan kedewasaan tetapi sikap negatif yang menggambarkan ketidakwarasan seseorang individu. Justeru, katakan tak nak untuk sebatang rokok!