Sebilangan besar dalang wayang kulit mendiami kawasan-kawasan penanaman padi. Ini bermakna musim permainan wayang kulit akan bermula sebaik sahaja padi habis dituai dan akan berlarutan sehingga bermulanya musim hujan. Seseorang dalang yang terkenal akan sentiasa mendapat jemputan mengadakan persembahan. Bagi dirinya kerja ini akan dapat mengisi masanya terutamanya dari bulan Mac hingga Oktober. Terdapat segelintir sahaja para dalang yang menampung hidup sepenuhnya daripada pendapatan persembahan wayang kulit. Kebanyakan dalang mempunyai pekerjaan sampingan, seperti menjadi pesawah ataupun menjadi penghibur dan juga dukun. Di sinilah para dalng menjadi lambang serta sumber harapan kepada masyarakat setempat.