Mengintai puisi-puisi yang termuat dalam buku ini pastinya kita tidak akan menyangka bahawa bait-bait puisi yang indah ini diilhamkan oleh pengkarya bukan Melayu. Himpunan puisi terpilih yang pernah tersiar dalam media cetak, juga koleksi peribadi penulis dari tahun 2008 hingga 2013, kini dipersembahkan untuk tatapan khalayak pembaca.
Menariknya, nukilan-nukilan beliau itu dimanipulasikan daripada pengalaman dan rencah kehidupan yang ditempuhnya sendiri, juga mangambil kira latar belakang budaya dan stratifikasi sosial masyarakat majmuk di Malaysia dari sudut pandang penulis bukan Melayu yang menulis karya-karya susastera.
Terimalah puisi yang bertendensi kemanusiaan dan semangat muhibah ini dengan akal dan mata hati yang berfikir.