2 Hubungan Etnik
dinamika hubungan antara etnik; seterusnya mengubah bentuk identiti sesesuatu kumpulan etnik. Dalam menganalisis kedinamikan hubungan etnik, apakah dimensi sosial yang sesuai dalam sesebuah masyarakat? Hubungan antara individu yang ada dalam sesebuah masyarakat tidak sekadar dipengaruhi oleh unsur etnik semata-mata, tetapi juga seperti yang dinyatakan dipengaruhi oleh unsur-unsur sosial yang lain.
Dalam usaha mengenal pasti unsur-unsur sosial tersebut, dapat dilihat unsur sosial yang paling mempengaruhi pembentukan identiti kumpulan. Seterusnya, unsur sosial yang manakah pula mempengaruhi bentuk, tahap, tingkat mahupun intensiti hubungan antara etnik yang terhasil daripadanya. Oleh hal demikian, dalam proses mengkaji ciri- ciri yang membentuk sesuatu kumpulan etnik, aspek akar umbi kepada motivasi yang membentuk batas kumpulan perlu difahami. Keadaan ini boleh mencairkan batas kumpulan etnik selain membina ikatan merentas kumpulan dan seterusnya membina kesepaduan sosial dalam kehidupan masyarakat di Malaysia.
Sebuah negara, dua imaginasi Sosiologikal: antara
‘Perpaduan’ atau ‘Kesepaduan’
Ungkapan ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ – unity in diversity – , sudah menjadi mantra dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. Namun jarang-jarang sekali kita bertanya apakah makna ungkapan ini, adakah perkara itu benar, separuh benar, palsu atau retorik semata-mata apabila digunakan untuk menyimpulkan wajah masyarakat Malaysia. Ungkapan atau slogan ini mengangkat sekali gus memuji kemampuan kelompok manusia yang berbeza-beza hidup dalam sebuah masyarakat. Dari sudut psikologi sosial keadaan ini mengungkapkan satu bentuk psyche manusia, iaitu ‘rasa kesatuan’ yang merentas pemisahan fizikal dan psikologikal, yang meliputi juga konteks metafizikal.