Penjajahan British merubah lanskap ekonomi Tanah Melayu dari pertanian sara diri kepada ekonomi komersil. Modal tempatan dari saudagar Negeri Selat dan modal asing yang dibawa masuk British untuk sektor ekonomi yang sedang berkembang. Perkembangan ekonomi dunia yang memerlukan kepada bahan mentah mempengaruhi ekonomi Tanah Melayu. Kedudukan Tanah Melayu yang kaya dengan bahan mentah menarik minat kuasa besar untuk menjajah dan membuka lombong bijih timah dan ladang getah. Buruh dibawa masuk dari China dan India untuk bekerja di sektor berkenaan. Kemajuan sistem pengangkutan dan perhubungan serta kemudahan bekalan air dan eletrik kesan dari kemajuan ekonomi yang berlaku. Penjajah British membiarkan orang Melayu kekal dalam kegiatan Pertanian. Penjajah British lebih mementingkan jaminan supaya jentera ekonomi dapat bergerak dengan cekap dan teratur Dasar Pecah dan Perintah dari segi penempatan menyebabkan bukan Melayu dapat melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi manakala Melayu kekal di luar bandar.
Justeru, kaum bukan Melayu dapat melibatkan diri secara langsung dalam kegiatan ekonomi moden. Dasar Pecah dan Perintah juga menyebabkan orang Melayu terpisah dari ekonomi moden dan kekal menjalankan ekonomi tradisional. Dasar British ini melahirkan satu masyarakat majmuk dan kepelbagaian budaya. Namun, dasar British ini tidak membantu Melayu untuk menghadapi perubahan atau menyesuaikan diri dengan kehidupan ekonomi moden sebaliknya meneruskan kegiatan ekonomi secara tradisional. Kegiatan ekonomi moden seperti perdagangan, perlombongan dan perladangan lebih tertumpu di kawasan Pantai Barat Tanah Melayu. Akibatnya, jurang kemiskinan dalam kalangan rakyat semakin meluas. Pola perbezaan ekonomi mengikut kaum ini menimbulkan masalah ekonomi yang tidak seimbang antara kaum Melayu dengan kaum bukan Melayu. Hal ini akan mewujudkan kelembapan ekonomi pertanian dan memberi kesan kepada perkembangan peluang-peluang pekerjaan iaitu peluang pekerjaan gagal diwujudkan. Dasar yang diperkenalkan ini menjadi batu penghalang kepada kewujudan satu masyarakat yang bersatupadu.