Kekacauan tercetus semula bila seorang Iban dari kawasan sempadan Kalimantan Belanda dibunuh di Sermat pada bulan Disember 1901. Kerajaan mengambil langkah segera memenjara pembunuh-pembunuh tersebut dan membayar pati nyawa kepada keluarga mangsa. Bantin yang ada hubungan kekeluargaan dengan si mati tidak berpuas hati dan mengambil tindakan balas menyerang rumah panjang di Sermat pada bulan Mac dan Mei 1902. Rajah Charles Brooke pula mengambil tindakan tegas menghantar skspedisi menghukum pada bulan Jun 1902. Seramai dua belas ribu askar dan sukarelawan yang terlibat. Ekspedisi ini gagal kerana kemarau panjang. Dianggarkan seribu orang daripada pasukan kerajaan terkorban kerana wabak kolera. Ini merupakan kemenangan kepada Bantin dan mendorong Ngumbang untuk menyertai kumpulan penentang semula.