Menurut Perlembagaan Malayan Union, Malayan Union akan diperintah oleh Gabenor bagi memastikan penyelarasan dasar dan pentadbiran antara Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak. Sultan-sultan cuma menjadi raja kehormat sahaja. Manakala majlis yang membincangkan hal ehwal agama Islam akan dianggotai oleh sultan-sultan tetapi Gabenor yang menjadi pengerusinya. Perlembagaan Malayan Union juga cuba memberikan hak kerakyatan kepada golongan bukan Melayu menerusi prinsip jus soli yang bermaksud jika seseorang itu dilahirkan di tanah Melayu selepas Malayan Union, seseorang itu berhak menerima kerakyatan dengan mudah. Dari segi pentadbiran, Gabenor memerintah bersama-sama dengan Majlis Penasihat sehingga dua badan tetap, iaitu Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan dapat ditubuhkan (Zainal Abidin 1979).