Menurut Amir Hassan Dawi (2006), kepentingan kajian bermaksud apakah kajian berkenaan berguna kepada mana-mana pihak. Setiap kajian yang dijalankan selalunya mempunyai motif-motif tertentu atau untuk kepentingan pihak tertentu.
Kajian ini dijalankan bagi mengkaji faktor yang mempengaruhi keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dalam kajian ini, faktor yang dikaji adalah meliputi aspek pengurusan, pengetahuan, kemahiran dan teknologi. Aspek-aspek ini dianggap sebagai tunjang utama kepada pengkaji bagi mengukur sejauh mana keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan khususnya di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup dapat ditingkatkan. Justeru itu, dengan adanya kajian seumpama ini, diharapkan ia dapat menarik pihak-pihak yang terlibat seperti Kementerian Pelajaran Tinggi Malaysia, pihak Institusi Pengajian Tinggi, pensyarah dan pelajar bagi bersama-sama memperbaiki kelemahan di samping mempertingkatkan lagi kecekapan yang ada bagi mempersiapkan diri pelajar yang bakal menempuh alam pekerjaan yang lebih kompetitif dan mencabar pada masa hadapan.
Dalam pada itu, kajian ini juga berguna kepada pihak institusi pendidikan untuk memberi penekanan kepada beberapa ciri-ciri utama bagi setiap aspek bagi mengoptimumkan penggunaan TMK seperti yang diharapkan oleh semua pihak. Seterusnya, kajian ini juga diharapkan dapat mewujudkan kesedaran di kalangan pensyarah, pelajar dan institusi pendidikan tinggi tentang betapa pentingnya TMK untuk di aplikasikan dalam kehidupan seharian. Akhir sekali, hasil kajian ini diharapkan dapat memberi gambaran dengan jelas serta dapat dijadikan garis panduan yang berguna kepada semua pihak untuk meningkatkan lagi prestasi pengajaran dan pembelajaran serta mutu perkhidmatan dengan berbekalkan kemudahan dan kecanggihan teknologi yang ada bagi memastikan tahap keberkesanan dan kompetensi dapat dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa bagi manfaat pada masa hadapan.