Unsur-unsur tradisi ini perlu kerana telah wujud ratusan tahun sebelum Perlembagaan Persekutuan 1957. Unsur-unsur berkenaan berperanan menstabilkan sistem politik negara dan laporan yang dibuat oleh Suruhanjaya Reid menekankan betapa pentingnya perlembagaan mengambil kira faktor-faktor sejarah, tradisi, ekonomi dan sosial yang wujud sebelum tahun 1957 (Mohd Saffeh 1984). Keadaan ini menunjukkan betapa pentingnya unsur-unsur tradisi sehingga ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 dan dianggap sebagai isu-isu sensitif yang dilarang daripada dijadikan isu perbincangan awam. Bagi rakyat Malaysia, khususnya etnik Melayu, unsur-unsur ini penting kerana perkara ini menjadi identiti dan kestabilan negara.