Pada cuti persekolahan yang lalu, Effi sekeluarga telah pulang ke kampung nenek di Papar, Sabah. Mereka tinggal di kampung selama dua minggu.
Effi telah berpeluang menolong neneknya mengusahakan bendang secara tradisional. Mula-mula nenek menanam padi di tapak semaian. Selepas pokok padi itu tumbuh, anak padi akan diubah ke bendang.
Setiap pagi Effi akan mengikut nenek ke sawah. Kerja di sawah biasanya dilakukan pada waktu pagi sehingga ke tengah hari. Nenek menyuruh Effi memakai terendak untuk melindungi kepala daripada kepanasan cahaya matahari.
Effi mengadu sakit pinggang kerana membongkok terlalu lama semasa menanam padi. Namun, Effi berasa gembira kerana dapat menolong nenek.