Tindakan pertama yang diambil oleh Dato' Bahaman ke atas pasukan keselamatan penjajah British yang dipimpin oleh Desborough di Lubuk Terua sehingga berjaya membunuh 3 orang polis bersenjata lengkap dan mencederakan beberapa orang yang lain. Dalam serangan tersebut, Dato' Bahaman berjaya melepaskan pengikut beliau yang ditahan oleh British. Dato' Bahaman seterusnya memimpin sepasukan pejuang Pahang menyerang pelbagai kemudahan milik British seperti memusnahkan gudang-gudang bekalan makanan serta barangan kepunyaan Syarikat Lombong Bijih di daerah Bentong dan Raub. Keupayaan Dato' Bahaman mengalahkan pasukan polis British telah menyemarakkan semangat perjuangan dalam kalangan orang Melayu untuk menentang British walaupun perlu berjuang dalam keadaan serba kekurangan dan hanya berbekalkan kehebatan gerak langkah Silat Melayu.