Cerpen 'Capa Rengat' mengisahkan seorang remaja yang ingin merasai kehidupan di kampung ibunya. Pada waktu petang, "Aku" akan mengikut bapa saudaranya Pak Cik Kinto, ke bukit-bukit di keliling kampung untuk menyedut udara segar dan menembak burung-burung serta menjengah ikan-ikan di sungai. Hubungan Pak Cik Kinto dan "Aku" seperti belangkas.
Pada sebelah petangnya. "Aku" tidak dapat ke mana-mana kerana Pak Cik Konto pergi untuk berurusan dengan peguam. Ibu "Aku" pula berasa bosan tinggal lebih lama di kampung. "Aku" mengambil keputusan merayu-rayau di sekeliling di kampung. Ketika lalu di sebidang paya, "Aku" melihat lima orang anak muda sedang bermain di bahagian tepi paya.
Seorang budak perempuan, Su mengajak "Aku" bermain bersama-sama mereka. Permainan yang dimainkan begitu janggal dan "Aku" berasa kekok pada permulaannya tetapi kemesraan budak-budak kampung menghilangkan rasa kekok "Aku". Akhir sekali, "Aku" diajak bermain rumah katak. Setiap kali rumah katak "Aku" siap dibina, Su akan memecahkannya.
"Aku" cuba menangkap Su kerana mempersenda-senda kebolehan "Aku". Rupa-rupanya, Su begitu lincah meniti batang dan melompat hingga ke seberang paya. Tanpa diduga, Su menghampiri "Aku" dan menghadiahkan sekuntum bunga Capa Rengat atau bunga melur hutan yang berbau wangi. Kami seolah-olah dibuai perasaan apabila berganding bahu menyiapkan rumah katak dalam kota buatan.
Tiba-tiba, ketika "Aku" dan Su asyik membina jalan menuju pintu masuk kota buatan, seorang budak lelaki berumur lapan tahun menjerit nama Su. Su terpaksa pulang ke rumah dengan segera. "Aku" mengenal pasti Su mempunyai seorang ibu tiri yang bengis daripada kawan-kawan sepermainan. Budak yang memanggilnya Su itu ialah adik tirinya.
Pada sebelah malamnya, "Aku" tidur dengan nyenyak. Bunga Capa Rengat diletakkan di dalam botol berisi air. "Aku" ingin merasai kesegaran bau wangi Capa Rengat dalam tidur.
Setelah sehari berada di kampung, ibu memutuskan siri lawatan ke kampung dipendekkan. Pak Cik Kinto dan Mak Cik Kinto meminta ibu memanjangkan tempoh di kampung tetapi ibu mendesak-desak untuk pulang. "Aku" berasa terharu untuk meninggalkan kampung dan kesayuan hatiku makin mendayu-dayu.
Dalam keadaan separuh sedar, "Aku" bertanyakan kepada ibu tentang kesediaannya untuk pulang ke kampung semula. Malangnya ibu melahirkan ketegasan untuk tidak pulang ke kampung lagi kerana urusan tanah dan rumah pusaka selesai. Keputusan ibu membuatkan "Aku" sedih apabila "Aku" terpandang bunga Capa Rengat yang sudah layu dan terkenangkan wajah Su.