dari Segregasi ke integrasi
hasil Pembelajaran
Selepas mempelajari bab ini, pelajar dapat:
1. Memahami konsep segregasi dan integrasi dalam konteks hubungan
etnik di Malaysia.
2. Menilai peranan kerajaan dalam mengeratkan hubungan etnik di
Malaysia.
3. Menghargai peranan masyarakat dan NGO dalam konteks hubungan
etnik di Malaysia.
Pengenalan
Segregasi dan integrasi merupakan dua konsep yang berbeza. Dalam konteks Malaysia, segregasi perlu dielakkan, sebaliknya kita perlu berusaha untuk memupuk integrasi dalam kalangan rakyat. Segregasi berlaku kesan daripada dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh pihak British berdasarkan kegiatan ekonomi mengikut etnik. Integrasi antara kaum pula memerlukan usaha dan sokongan daripada semua pihak sama ada secara top-down atau bottom-up dalam merealisasikan negara Malaysia yang unggul menjelang tahun 2020. Kepelbagaian rakyat Malaysia perlu dilihat sebagai aset yang tidak sekadar berjaya memupuk kesepaduan sosialnya, malah menuju ke arah integrasi. Integrasi hanya akan dapat terjelma apabila rakyat yang terdiri daripada pelbagai etnik itu bersedia menerapkan unsur-unsur akomodasi, akulturasi hingga ke peringkat asimilasi dalam kalangan mereka. Persoalannya, apakah cabaran yang dihadapi dalam usaha membina integrasi pelbagai etnik di negara ini? Apakah langkah-langkah yang dilakukan oleh kerajaan dalam memupuk dan membina integrasi?
dari Pengasingan ke Penyatuan