DEB juga menyasarkan strategi ke arah mengurangkan paras kemiskinan daripada 50 peratus pada tahun 1970 kepada 16.7 peratus menjelang tahun 1990. Manakala kerajaan turut menyasarkan penguasaan ekuiti dalam sektor korporat oleh bumiputera daripada 2.4 peratus pada tahun 1970 kepada 30 peratus menjelang tahun 1990. Sementara itu, penguasaan ekuiti masyarakat lain terutamanya golongan etnik Cina dibenarkan berkembang daripada 35 peratus kepada 40 peratus manakala pegangan ekuiti oleh bangsa asing dikurangkan daripada 63 peratus pada
1970 kepada 30 peratus menjelang tahun 1990 (Drabble 2000).
Kejuruteraan sosial dalam DEB adalah juga bertujuan mewujudkan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB). Penekanan tersebut diberikan bagi membentuk kelas Melayu komersial yang akhirnya membolehkan penyertaan Melayu dalam sektor korporat selaras untuk meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera daripada 1.9 peratus pada tahun 1970 kepada 30 peratus pada akhir rancangan DEB pada tahun 1990. Strategi penyusunan semula masyarakat sebenarnya bertujuan mewujudkan penyertaan seimbang semua etnik dalam setiap kegiatan ekonomi. Antara matlamat utamanya adalah pertama, mengurangkan keadaan tidak seimbang struktur guna tenaga. Kedua, menambahkan hak milik rakyat Malaysia dalam pemilikan modal produktif negara termasuk pemilikan saham sektor syarikat. Legasnya, matlamat ini bertujuan untuk
memastikan bumiputera memiliki sekurang-kurangnya 30 peratus saham sektor syarikat, sementara 40 peratus oleh kaum bukan bumiputera dan 30
peratus rakyat asing. Ketiga, mewujudkan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian dalam kalangan bumiputera untuk semua lapangan dan peringkat
kegiatan ekonomi moden (Nik Hashim 1989).
Matlamat dalam DEB dirangka oleh kerajaan memandangkan ketakseimbangan ekonomi antara etnik amat ketara, terutamanya jika perbandingan dilakukan terhadap bumiputera dengan bukan bumiputera. Ketakseimbangan ekonomi yang wujud termasuk aspek corak dan struktur guna tenaga, agihan pendapatan serta pemilikan modal produktif. Kesemua punca ketakseimbangan yang wujud dan bersifat berterusan pasti tidak akan dapat menghasilkan kemantapan mahupun kestabilan ekonomi, sosial serta politik yang diperlukan bagi menjamin kadar pertumbuhan ekonomi yang seimbang untuk meningkatkan taraf hidup penduduk negara ini. Peningkatan ekonomi yang tidak seimbang antara kumpulan etnik jelas digambarkan dalam bidang pemilikan sebagaimana yang ditunjukkan dalam
Jadual 3.3. Petunjuk dalam jadual tersebut memaparkan hanya 1.5 peratus modal
daripada syarikat yang terdapat di Semenanjung Malaysia adalah dimiliki oleh
etnik Meayu pada akhir tahun 1969, sedangkan 22.8 peratus dimiliki oleh etnik Cina dan 62.1 peratus oleh syarikat asing yang dikendalikan menerusi cawangan
syarikat yang ditubuhkan di luar negara.