Tindakan kerajaan Vyner Brooke melaksanakan cukai dan peraturan baru menimbulkan kegelisahan orang Iban. Dalam soal pembayaran cukai pintu, orang Iban tidak membantah semasa sebuah keluarga dikenakan bayaran seringgit setahun. Mereka mula memprotes bila kerajaan mahu mengutip mengikut bilik tanpa mengira penghuninya seorang janda atau miskin. Cukai tambahan pula dikenakan untuk setiap tangga rumah panjang sebanyak lima ringgit atau sepuluh ringgit untuk sebuah rumah panjang. Sukai senapang patah yang baru juga menimbulkan bantahan dalam kalangan orang Iban. Apa yang lebih menimbulkan rasa tidak senang bila tersebar khabar angin yang kerajaan akan mengenakan cukai ke atas setiap orang lelaki sebanyak lima puluh sen setiap kali ingin meniduri isterinya. Beberapa dasar kerajaan Brooke antara 1920-30 juga menimbulkan ketegangan dengan masyarakat Iban. Pada tahun 1920 ditubuhkan Jabatan Hutan Simpan dan Perhutanan. Jabatan ini mahu menghentikan amalan tanam pindah, penebangan hutan, mengutip hasil hutan dan memburu binatang liar. Mulai tahun 1926 Residen Bahagian Ketiga mengarahkan orang Iban membina rumah panjang yang boleh memuatkan tidak lebih sepuluh keluarga. Ini bagi mengelakkan penyatuan dan memudahkan kawalan. Orang Iban membantah dengan alas an peraturan ini bertentangan dengan adat mereka.