Seni merupakan proses bagi mengenali diri sendiri. Proses di mana seniman itu mengenal pasti elemen yang berada disekelilingnya, yang secara tidak langsung membentuk pemikiran dan realiti beliau. Sebagai seorang individu ianya merupakan satu proses yang harus dilakukan, agar suatu hari nanti realiti kita sebagai manusia masih berdiri utuh dan bukannya berdiri di atas satu dasar yang dipenuhi dengan ilusi, sentimen dan prejudis yang membahayakan.
Stereotaip ada di mana-mana, dan fungsi stereotaip itu tidak dapat kita nafikan, membentuk realiti kita terhadap orang yang berbeza dari kita. Ianya berfungsi sebagai persepsi dan mekanisme pertahanan kita terhadap apa yang tidak dapat kita pastikan dengan benar.
Karya Liew adalah hasil penerokaan terhadap stereotaip yang ada dikalangan masyarakat kita. Ia merupakan percubaan bagi menukar rasa takut beliau dengan cubitan satira. Ia adalah karya yang melihat persepsi beliau melalui humour. Beliau pada akhirnya mencetuskan perasaan yang beliau pendam selama ini, dan secara tidak langsung menyatakan pandangan beliau melalui stereotaip yang beliau sedar semasa membesar di negaranya sendiri. Melalui simbol-simbol dan hasil fikiran beliau yang kritikal, artis menggabungkan kesemuanya bagi memaparkan sisi absurd di dalam masyarakat kita secara am.
Melalui kenyataan beliau, dinasihatkan bahawa kita tidak harus melihatnya dari pandangan yang serius. Humour adalah kata kunci yang dapat digunakan bagi mengamati karya beliau. Kerana sepintas lalu, karyanya mungkin sahaja dianggap terlalu provokatif, tidak sopan dan begitu membingungkan. Tetapi jika dilihat dengan teliti, terdapat beberapa elemen digunakan bagi melambangkan stereotaip yang ada, tidak hanya dikongsi diantara kelompok minoriti tetapi seluruh rakyat secara am. Nilai humour harus diterapkan dikalangan rakyat negara kita, agar kebenaran yang benar-benar kelam itu mampu diterima dan sedikit sebanyak mampu melihatkan masalah yang melanda masyarakat kita tanpa cenderung ke perasaan yang begitu membahayakan.