Makanan berperanan menyatupadukan pelbagai etnik dalam sesebuah masyarakat dan sebaliknya makanan juga dapat membahagikan individu kepada kumpulan sosial tertentu dalam masyarakat. Penyatupaduan dan pembahagian tersebut bergantung kepada bentuk ruang sosial sesuatu makanan mengikut fungsinya dalam masyarakat khususnya masyarakat pelbagai etnik.
Cara makan dan jenis makanan yang tidak boleh dimakan oleh individu atau kelompok masyarakat membentuk ruang sosial makanan kepada dua, iaitu ruang awam dan ruang bukan awam. Pembentukan kedua-dua ruang tersebut boleh memberi kesan tidak sihat ke atas hubungan antara etnik yang berbeza latar belakang budaya dan agama. Oleh itu penyesuaian dilakukan supaya membolehkan pelbagai etnik turut serta menikmati juadah yang disajikan dalam kedua-dua ruang sosial makanan tersebut. Rajah 9.1 menjelaskan fungsi kedua-dua ruang sosial makanan yang boleh dilakukan penyesuaian tanpa menjejaskan fungsi asal.