Berdasarkan fakta dalam Jadual 3.3, jelas menunjukkan bahawa
kekuatan dominasi dan kawalan utama ekonomi Malaysia adalah di tangan etnik bukan Melayu, iaitu pemilikan asing dan bukannya pada
komuniti Cina. Oleh hal demikian, kerajaan memperkenalkan
DEB dengan matlamat mengurangkan kedudukan pemilikan asing dalam negara. Akhirnya, penjelasan yang diterima pakai kepada punca berlakunya
rusuhan etnik pada 13 Mei 1969 iaah
ketakseimbangan ekonomi antara
kumpulan etnik. Justeru, pertimbangan faktor etnik menjadi
dasar yang dibentuk bagi menyelesaikan masalah agihan ekonomi dalam memastikan golongan bumiputera Melayu tidak keciciran dalam meningkatkan penguasaan ekonomi seiring dengan etnik lain di negara ini. Dalam pelaksanaan DEB, dasar campur tangan kerajaan adalah bertujuan untuk menaikkan pendapatan masyarakat bumiputera Melayu dengan tujuan untuk mengurangkan kemiskinan khususnya di kawasan luar bandar. Di samping itu, kerajaan menyasarkan pegangan
ekuiti dalam sektor korporat ditingkatkan daripada 2.4 peratus kepada 30 peratus menjelang tahun 1990. Sementara itu, pegangan ekuiti oleh etnik Cina dibenarkan sehingga 40 peratus, tetapi pegangan ekuiti oleh golongan asing akan dikurangkan kepada 30 peratus. DEB
diperkenalkan untuk membanteras aspek kemiskinan rakyat Malaysia dan menstrukturkan semula masyarakat sehingga dapat menangani pengenalan etnik melalui fungsi ekonomi (Rancangan Malaysia Kedua
1971-1975).
Rancangan Malaysia Kedua (RM Ke-2) turut memberi panduan
yang jelas terhadap agenda memartabatkan peningkatan penyertaan
etnik Melayu dalam arena perniagaan dan perdagangan. RM Ke-2
menggalurkan hasrat kerajaan mewujudkan satu MPPB dalam satu tempoh melalui pelbagai langkah yang meliputi bantuan kewangan dan
latihan, mewujudkan tempat perniagaan yang sesuai di bandar-bandar,
mengadakan usaha sama dengan bukan Melayu bagi memperoleh pengetahuan, pengalaman dan pasaran, menggalakkan penubuhan
perusahaan-perusahaan kecil dan berusaha menukar sikap etnik Melayu
agar cenderung ke arah membentuk budaya perniagaan dan perusahaan. Latar belakang pengwujudan MPPB adalah imbasan daripada
pelaksanaan DEB yang dimulakan pada RM Ke-2 yang menekankan
dua strategi utama. Antara yang terpenting adalah memperbetulkan
74
Hubungan Etnik
ketakseimbangan ekonomi dan seterusnya menghapuskan pengenalan etnik mengikut fungsi ekonomi. Sungguhpun sistem nilai dan sikap bumiputera telah mengalami perubahan positif dalam tempoh dua puluh tahun kebelakangan ini, namun golongan usahawan bumiputera masih ketinggalan dari segi daya cipta, budaya niaga baik serta semangat bekerja yang gigih. Sepanjang pelaksanaan DEB menunjukkan galakan yang diberikan oleh pihak kerajaan dalam usaha menaikkan status ekonomi dalam kalangan etnik Melayu. Pelbagai insentif diadakan demi membantu pencapaian ekonomi terutama dalam kalangan pengusaha Melayu. tambahan pula, banyak agensi diwujudkan oleh kerajaan untuk memberi peluang kepada bumiputera mendapat pengalaman yang luas serta menjalankan perniagaan sendiri sebagai pengusaha apabila mengumpulkan modal yang secukupnya. Bagaimanapun, kemajuan yang ditunjukkan oleh etnik Melayu dalam menguasai bidang perniagaan dan perdagangan masih belum dapat menjadi ukuran kepada pencapaian matlamat kerajaan yang sebenarnya. Dalam aspek ekonomi politik, sememangnya kerajaan mengamalkan dasar campur tangan dengan melaksanakan DEB dengan harapan dapat memenuhi pencapaian ekonomi mampan antara bumiputera dengan bukan bumiputera seterusnya merapatkan jurang dan memenuhi hasrat
perpaduan dalam kalangan masyarakat. Justeru, terdapat pelbagai
langkah untuk melahirkan MPPB dengan harapan dapat menambah penyertaan etnik Melayu dalam bidang perniagaan dan perindustrian. Di samping itu, matlamat DEB adalah ke arah mencapai perpaduan nasional melalui penglibatan akti kerajaan dalam ekonomi untuk mengurangkan ketakseimbangan sosioekonomi yang wujud antara etnik. Pendekatan yang digunakan adalah dengan memberi keutamaan kepada etnik Melayu dan juga bumiputera lain yang ketinggalan dalam
arus perdana pembangunan ekonomi. Oleh itu, DEB dianggap sinonim
dengan perpaduan nasional dalam membetulkan ketakseimbangan
ekonomi antara etnik (Mauzy 1997). Melalui DEB kerajaan
mengandaikan sekiranya jurang ketidakseimbangan ekonomi antara etnik dapat dikurangkan, maka ketegangan dan konflik antara etnik akan dapat dielakkan, dan seterusnya pendekatan ini akan membantu mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.