Permainan tradisional merupakan permainan yang dimainkan oleh generasi pada zaman nenek moyang kita sejak dahulu lagi.Antara contoh permainan tradisional yang masih dimainkan kini ialah permainan gasing, wau dan congkak. Namun, peredaran zaman yang kian berubah telah menyaksikan bahawa permainan tradisional ini makin dipinggirkan oleh generasi muda kini. Mengapakah hal sedemikian berlaku? Siapakah yang perlu melestarikan permainan tradisional ini agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas? Oleh itu, kepentingan permainan tradisional ini perlu diuar-uarkan kepada rakyat Malaysia agar permainan ini tetap terlestari sampai bila-bila.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa permainan tradisional merupakan warisan budaya Malaysia yang tidak ternilai harganya.Hal ini adalah kerana permainan tradisional merupakan warisan nenek moyang kita yang melambangkan adat, budaya dan identiti sesuatu bangsa. Sekiranya permainan tradisional ini tidak dipertahankan sudah tentu generasi muda tidak mengenali budaya warisan mereka.Impaknya, generasi muda sudah tentu tidak akan mengenali permainan congkak, sepak raga, wau malah mereka begitu berbangga dengan permainan moden yang begitu pesat membanjiri pasaran kini. Jelaslah, permainan tradisional ini sangat penting kerana permainan ini merupakan warisan turun-temurun yang perlu dilestarikan untuk tatapan generasi akan datang.
Sudah Terang Lagi Bersuluh, permainan tradisional dapat dijadikan sebagai alat hiburan untuk mengisi masa lapang. Permainan tradisional dapat menghiburkan seseorang kerana permainan ini menyeronokkan dan dimainkan secara berkumpulan.Sebagai contoh, permainan congkak yang memerlukan dua orang untuk memainkannya dan begitu juga permainan sepak raga yang perlu dimainkan secara berkumpulan. Secara tidak langsung, permainan tradisional ini dapat mengurangkan stress seseorang malahan dapat menyihatkan tubuh badan seseorang. Tegasnya, permainan tradisional bukan sahaja dapat menghiburkan seseorang malah mengisi masa lapang dan menyihatkan tubuh badan.
Kepentingan seterusnya ialah permainan tradisional dapat dijadikan suatu produk pelancongan yang menguntungkan negara. Pada kebiasaannya, pelancong luar yang datang ke negara kita ingin melihat keunikan budaya warisan yang terdapat di Malaysia. Sebagai contoh, permainan wau ataupun layang-layang yang kini telah mendapat tempat di persada antarabangsa.Secara eksplisitnya, permainan tradisional ini dapat menarik pelancong asing dan berlakunya aliran masuk mata wang asing ke dalam negara. Izharlah bahawa permainan tradisional membawa signifikan yang ketara dalam sektor pelancongan di Malaysia.
Sebagai intiha, permainan tradisional banyak memberikan kepentingan kepada rakyat mahupun negara. Sesungguhnya, permainan ini perlulah dilestarikan untuk dijadikan alat penghubung silaturahim antara generasi dulu dan kini. Sebagai rakyat Malaysia yang menghargai warisan tradisi seharusnya berganding bahu bagai Aur Dengan Tebing dalam mengekalkan permainan tradisional ini. Walaupun kini permainan moden bagai Cendawan Tumbuh Selepas Hujan telah menguasai jiwa golongan muda namun, permainan tradisional tetap di hati kerana Tak Kenal Maka Tak Cinta.