Mungkin kita boleh menggunakan Proton Saga sebagai contoh. Sebenarnya apa yang dikatakan sebagai Proton Saga ialah satu himpunan benda seperti skru, tayar, enjin, kusyen, kaca dan sebagainya. Sekiranya dipisah-pisahkan, kita tidak dapat mencari sesuatu benda yang terpisah itu yang boleh dianggap sebagai Proton Saga.
Hal yang sama adalah terjadi pada kita sebagai manusia. Anggapan bahawa terdapatnya satu ‘aku’ dalam diri kita sebenarnya merupakan satu tanggapan yang palsu. Ini akan menyebabkan seseorang cuba mempertahankan dengan habis-habisan sesuatu yang dianggap sebagai kepunyaannya seperti pendapatnya, hak miliknya dan lain-lain. Sebaliknya, kalau seseorang itu memahami dan sedar bahawa ‘aku’ sebenarnya hanya merupakan satu nama panggilan himpunan untuk unsur-unsur fizikal dan mental yang selalu berubah, maka ia tidak akan berpaut kepada kesemuanya. Apa yang patut kita lakukan ialah berusaha supaya berkembang untuk menyempurnakan diri-sendiri. Jadi kita harus mencuba bermurah hati dan berbelas kasihan terhadap semua makhluk dan tidak bersifat sombong.
Anda mungkin tanya, "Jika tiada ‘aku’, siapakah yang menerima akibat perbuatan salahnya (kammanya)?" Buddha pernah menerangkan, "Adalah salah dikatakan melaku sesuatu perbuatan itu adalah seperti orang yang menerima/mengalami balasannya. Adalah satu kesalahan juga jika kita mengatakan dua orang yang berlainan bagi pelaku dan penerima balasannya sebab kita mengenalpasti dan tidak membezakan pelaku dan penerima balasan itu."
Kita telah lihat tadi kehidupan itu satu aliran proses atau tenaga fizikal dan mental yang sentiasa timbul dan hapus dari semasa ke semasa. Tidaklah mungkin pelaku itu sendiri mengalami balasannya kerana dia sedang berubah dari semasa ke semasa; tetapi kita juga tidak boleh menafikan dalam penerusan gejala yang berlaku ini (events), pengalaman tidak hilang, ia berterusan juga. Seorang kanak-kanak adalah tidak sama dengan seorang pemuda apabila dia membesar, seorang pemuda adalah tidak sama dengan seorang dewasa, mereka bukanlah tidak sama tetapi juga bukanlah manusia yang berbeza sama sekali. Cuma di sini satu pengaliran proses mental dan fizikal yang berterusan. Seperti yang dinyatakan: