Hari Deepavali merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut Hindu di seluruh dunia. Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan “Dipa” yang bererti cahaya dan perkataan “Gavali” yang bererti barisan. Perayaan ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November). Perayaan ini juga dikenali sebagai pesta cahaya. Cahaya bermaksud ‘harapan’, ‘kemenangan’ dan ‘kebahagian’.
Amalan berkabung
Amalan ini dilakukan bertujuan untuk menghormati sanak saudara yang telah meninggal dunia. Semua ahli terdekat bagi individu yang telah meninggal dunia dilarang menyambut perayaan Deepavali selama setahun. Namun begitu mereka masih dibenarkan untuk melawat ke rumah rakan-rakan seagama. Keadaan ini bertujuan untuk memberi penghormatan kepada ahli keluarga yang telah tiada dan untuk mendapatkan kesejahteraan bagi diri dan keluarga.
Hidangan manisan
Manisan ini berkait rapat dengan kepercayaan penganut Hindu. Manisan Palkova, halwa, Laddu dan atherasam dianggap juadah wajib bagi menjadikan sambutan Deepavali lebih bermakna dalam kehidupan penganutnya. Manisan ini merupakan acara pembuka bagi hari Deepavali kerana membawa kegembiraan, keseronokan, nilai positif dan kesejahteraan yang berpanjangan dalam diri seseorang. Mengikut kepercayaan penganut Hindu, manisan yang dibuat tidak boleh dimakan selagi manisan itu belum mendapa restu daripada Tuhan. Pada pagi sambutan Deepavali, masakan dan beberapa jenis manisan dipersembahkan semasa bersembahyang di rumah tujuan untuk mendapat restu daripada Tuhan. Selepas sembahyang, barulah hidangan manisan dan juga makanan istimewa lain yang disediakn boleh dinikmati.