2.0 FAKTOR-FAKTOR PENYALAHGUNAAN DADAH
Terdapat beberapa faktor penting atau secara umum yang telah dikenalpasti sebagai penyebab utama kepada peningkatan penagihan dadah di Malaysia iaitu faktor diri sendiri, persekitaran dan masyarakat, rakan sebaya, sekolah dan ibu bapa. Faktor-faktor ini merupakan faktor risiko seseorang itu terlibat dengan penagihan dadah.
2.1 FAKTOR DIRI SENDIRI
Individu yang terlibat dengan penagihan dadah cenderung untuk ingin mencuba. Perasaan ingin mencuba ini meyebabkan mereka tidak dapat mengawal diri mereka untuk lari daripada terlibat dengan dadah. Remaja merupakan mereka yang mudah mempunyai perasaan ini kerana pada ketika ini perasaan ingin tahu tentang sesuatu yang baru, mula berputik. Kajian menunjukkan peratusan tertinggi penagih baru adalah remaja. Mengikut statistik pada Januari hingga Disember 2005 remaja berumur antara 20 sehingga 24 tahun menunjukkan jumlah penagih baru yang tertinggi iaitu sebanyak 4018 orang iaitu 26% daripada penagih baru pada tahun tersebut. Hal ini sangat membimbangkan kerana remaja adalah aset negara yang harus dijaga.
Selain itu, individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah cenderung untuk berseronok. Keseronokan juga merupakan sebab utama kenapa remaja mencuba dadah. Sifat remaja yang suka kepada hiburan dan perkara yang memberi kepuasan kepada diri sendiri menyebabkan mereka mencuba dadah. Hasilnya remaja mula ketagih dan menjadikan dadah sebagai medium utama untuk berseronok. Statistik pada bulan januari hingga disember pada tahun 2005 menunjukkan sebab utama mereka mencuba adalah untuk keseronokkan. Dan ia menunjukkan peratusan yang agak tinggi pada tahun tersebut iaitu sebanyak 9.2%.
Selain itu, faktor tekanan jiwa juga merupakan penyebab utama seseorang itu mengambil keputusan untuk mencuba dadah sebagai medium utama bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi. Menurut Roberts(1997), kadar kemurungan meningkat sebanyak dua kali ganda pada zaman remaja berbanding pada zaman kanak-kanak dan kadar ini meningkat lagi apabila remaja terbabit menginjak usia dewasa. Kini, remaja bukan sahaja berhadapan dengan cabaran untuk belajar di sekolah semata-mata. Tekanan yang dialami akibat masalah peribadi, keluarga dan kerja turut mendorong seseorang itu untuk menyalahgunakan dadah. Apabila tekanan emosi keterlaluan, kemurungan berlaku sehingga mereka tidak mampu lagi berdepan dengan tekanan itu. Akhirnya dadah menjadi teman setia yang dapat membolehkan mereka lupa kepada tekanan yang dihadapi.
Selain itu, faktor diri sendiri yang tidak mempunyai kekuatan untuk menolak dadah menyebabkan dirinya tidak dapat mengawal untuk terlibat dengan dadah. Mereka tidak punyai kekuatan untuk lari daripada menyalahgunakan dadah. Hal ini di dorong oleh kelemahan dalam mengawal nafsu dan kekurangan ilmu dalam agama serta perasaan tidak takut pembalasan di akhirat kelak kerana mengambil bahan-bahan yang boleh merosakkan diri sendiri. Kesedaran yang kurang tentang bahayanya dadah menyebabkan mereka mudah menjerumuskan diri ke arah yang negatif. Kesedaran dalam diri itu penting kerana ia merupakan faktor pelindung yang dapat melindungi diri kita daripada terlibat dengan najis dadah.
2.2 FAKTOR RAKAN SEBAYA
Pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu faktor utama berlakunya penagihan pada zaman remaja. Hal ini kerana, kajian menunjukkan ramai remaja yang terlibat dengan dadah akibat daripada terpengaruh dengan rakan sebaya. Statistik pada bulan januari hingga disember 2005 menunjukkan pengaruh rakan berada pada kedudukan yang tertinggi iaitu sebanyak 6573 orang penagih baru dan 7203 orang penagih berulang dengan peratusan sebanyak 41.9% daripada jumlah keseluruhan penagih. Hal ini demikian, kerana kebanyakkan masa remaja diluangkan bersama dengan rakan sebaya mereka. Oleh itu, pemilihan rakan yang bersesuaian harus dilakukan dengan bijaksana oleh setiap remaja. Sekiranya rakan sebaya yang digauli oleh mereka terlibat dalam pengambilan dadah ia secara tidak langsung mereka sendiri akan terikut-ikut dengan sikap rakan mereka.
Budaya ini harus dikikis kerana hanya akan menyebabkan gejala ini menjadi lebih serius. Inginkan penerimaan daripada rakan-rakan juga menyebabkan seseorang itu mula terlibat dengan dadah. Remaja juga inginkan kuasa atau pengaruh yang kuat daripada rakan-rakan yang lebih berpengaruh, hal ini menjadikan mereka diterima oleh rakan sebaya. Berkawan dengan rakan-rakan yang tidak sihat menyebabkan remaja mudah terjerumus dengan kancah penagihan dadah. Pengaruh rakan yang kuat menyebabkan seseorang individu tidak dapat melarikan diri daripada terlibat dengan dadah. Pergaulan yang bebas antara lelaki dan perempuan pada zaman sekarang menyebabkan remaja perempuan turut sama terlibat dengan dadah. Semakin lama semakin ramai remaja perempuan terlibat dengan dadah. Sebagai contoh, pengaruh daripada teman lelaki menyebabkan remaja perempuan terikut-ikut dan menyerahkan dirinya kepada teman lelaki tersebut untuk diperlakukan dengan perkara yang membawa kepada keburukkan.
2.3 FAKTOR IBU BAPA
Ibu bapa merupakan insan yang telah mendidik dan memberi kasih sayang kepada kita sejak dari kecil lagi. Mereka telah banyak berbakti kepada kita tanpa kita sedari. Namun, apa yang menjadi keburukkannya ialah apabila ada segelintir ibu bapa yang kurang perihatin terhadap anak-anak mereka sehingga anak-anak mereka boleh terjerumus ke kancah penagihan dadah. Hal ini memang tidak dapat dinafikan terutamanya dalam era mengejar kemewahan dan kesenangan hidup pada hari ini. Para ibu bapa sentiasa sibuk mencari nafkah bagi menampung kehidupan serta menyediakan keperluan asas yang penting untuk keluarga. Secara tidak langsung, masa yang sepatutnya diluangkan bersama anak-anak menjadi terhad. Hal ini akan mengakibatkan remaja menikmati kebebasan yang keterlaluan kerana kegiatan mereka tidak lagi diambil tahu oleh ibu bapa. Lama-kelamaan, kebebasan yang dikecapi akan membawa mereka ke arah gejala sosial yang terlampau seterusnya ke lembah penagihan najis dadah dan mereka hanyut di bawa arus kehinaan.
Selain itu, kurangnya didikan agama oleh ibu bapa juga menjadi salah satu penyebab mengapa individu mudah terlibat dengan dadah. Hal ini berlaku kerana, ibu bapa tidak memberi perhatian kepada anak mereka. Tambahan lagi, dalam dunia serba moden ini remaja sangat terdedah dengan gejala-gejala sosial yang boleh merosakkan akal fikiran mereka. Kurangnya pendidikan agama menyebabkan remaja sesuka hati melakukan perkara yang telah dilarang oleh agama. Mereka juga tidak dapat membezakan antara dosa dan pahala. Pengetahuan tentang dosa dan azab siksaan di neraka yang amat pedih dan perit yang kurang didedahkan menyebabkan mereka tidak mempedulikan dan ambil kesah.
Ibu bapa juga kurang faham dari segi didikan agama menyebabkan mereka tidak berupaya mengamalkan ajaran-ajaran islam yang sebenar kepada anak-anak mereka. Kurang kasih sayang daripada ibu bapa juga menyebabkan anak-anak tidak mendapat perhatian yang secukupnya daripada mereka. Ibu bapa yang sibuk bekerja dan ibu bapa yang mengelak atau tidak bertanggungjawab untuk menjaga anak-anak menyebabkan anak-anak terabai. Anak-anak akan merasa kesunyian dan rasa tidak diambil perhatian dalam setiap tindakan yang dilakukan. Hal ini menyebabkan mereka memberontak dan apabila anak-anak memberontak ibu bapa hanya mengambil tindakan dengan memarahi mereka tanpa usul periksa dan hanya dapat menyalahkan mereka. Apabila ada ibu bapa yang memarahi dan menyalahkan mereka, mereka akan cepat terasa dengan tindakan ibu bapa dan cuba menjauhkan diri daripada ibu bapa seterusnya mencari rakan-rakan sebaya yang dapat beri keseronokkan.
2.4 FAKTOR SEKOLAH
Sekolah memainkan peranan yang penting bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dari pelbagai aspek terutamanya dari segi rohaniah, lahiriah dan jasmani. Namun, apa yang menduka citakan apabila sekolah dijadikan sebagai tempat berlakunya gejala buli, samseng, berjudi dan yang paling membimbangkan adalah sebagai tempat mengedar dadah. Remaja mula terjebak dengan dadah sejak dibangku sekolah sangat berleluasa sekarang sehingga kurang kawalan oleh pihak sekolah. Sekolah dijadikan sebagai pusat pengedaran dadah kepada remaja yang ingin mencuba dan ingin mendapat perhatian daripada rakan-rakan mereka.
Menurut Yang Dipertua PEMADAM, Datuk Zainal Abidin Zin dalam laporan Azmi Md Deros(2002), guru dan ibu bapa perlu bijak memanfaatkan sepenuhnya jalinan hubungan yang rapat untuk mempengaruhi pelajar atau anak mereka supaya tidak mudah terjebak dalam gejala penagihan dadah. Beliau menjelaskan bahawa hampir lima juta pelajar sekolah di negara ini terdedah kepada dadah kerana mereka menjadi sasaran utama pengedar yang bermotifkan keuntungan. Oleh itu, guru dan ibu bapa perlu meningkatkan peranan mereka di sekolah untuk memastikan tidak ada pelajar atau anak mereka yang terjebak dalam masalah penagihan dadah.
Di Kuantan, peningkatan kes pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi(IPT) yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah sangat membimbangkan dan memerlukan tindakan segera semua pihak. Dalam tempoh januari hingga disember tahun 2006, seramai 134 orang pelajar terbabit atas kesalahan dadah mengikut pelbagai seksyen. Hal ini menunjukkan, peningkatan lebih 45 peratus berbanding bagi tempoh sama pada tahun 2005. Sehubungan itu, apa yang penting ialah mencari punca kepada permasalahan itu sehingga ke akar umbi. Masalah tidak akan selesai selagi puncanya tidak dihapuskan. (Berita Mingguan, 29 April 2007).
2.5 FAKTOR MASYARAKAT DAN PERSEKITARAN
Faktor masyarakat juga merupakan faktor yang menyumbang kepada penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja. Persekitaran yang negatif seperti masyarakat sekitarnya banyak yang terlibat dengan dadah menjadi penyumbang utama kepada keinginan remaja untuk mencuba dadah itu sendiri. Remaja yang pada awalnya bebas dengan dadah mula berjinak-jinak dengan benda tersebut s