Pelbagai jenis kegiatan ekonomi di Malaysia memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kemajuan negara.
Kegiatan ekonomi di Malaysia boleh dibahagikan kepada kegiatan ekonomi primer, kegiatan ekonomi sekunder dan kegiatan ekonomi tertier. Pembahagian ini berdasarkan bentuk kegiatan yang terlibat.
Sektor pertanian, perikanan, penternakan, perhutanan dan perlombongan termasuk dalam kategori kegiatan ekonomi primer kerana melibatkan pengeluaran secara langsung daripada sumber alam semula jadi tanpa mengubahsuai bentuk barang.
Contoh Pekerjaan : petani, nelayan, penternak, pelombong, pekebun, peladang, pembalak dan sebagainya.
Kegiatan ekonomi sekunder ialah kegiatan ekonomi yang kebanyakannya merupakan lanjutan daripada kegiatan ekonomi primer yang memerlukan pemerosesan. Bahan mentah diproses menjadi barang siap atau barang separuh siap. Dua kegiatan ekonomi sekunder ialah kegiatan pembuatan (perkilangan) dan pembinaan.
Contoh Pekerjaan : pekerja kilang, operator pengeluaran, buruh binaan, jurutera dan sebagainya.
Kegiatan ekonomi tertier ialah sektor perkhidmatan, seperti pendidikan, perniagaan, perbankan, kewangan, pelancongan dan sebagainya.
Contoh Pekerjaan : guru, doktor, jururawat, polis, tentera, peguam, peniaga, penjaja, pekedai, kerani dan sebagainya.