Unsur-unsur tradisi juga merupakan satu prasyarat dan permuafakatan yang diterima oleh etnik Melayu dan bukan Melayu. Maknanya, hak istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama persekutuan dan bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan sebagai prasyarat penerimaan hak kewarganegaraan oleh etnik bukan Melayu dikekal dan diperkukuhkan. Prasyarat ini menunjukkan bahawa pemimpin terdahulu telah menerima satu formula bagi menyelesaikan masalah yang wujud tanpa melibatkan konflik antara etnik di tanah Melayu pada ketika itu. Disebabkan kepentingan unsur-unsur tradisi yang mendasari perlembagaan tersebut, maka unsur-unsur ini boleh dianggap sebagai tiang seri hubungan etnik di Malaysia.