Nasi lemak merupakan salah satu makanan kegemaran bagi orang Malaysia terutamanya sebagai sarapan pagi. Nama Nasi Lemak mendapat gelaran daripada penggunaan santan untuk memasak nasi. Santan khususnya merupakan bahan masakan yang sering digunakan oleh masyarakat melayu tradisional. Oleh itu, Nasi Lemak dikaitkan dengan penggunaan santan dalam nasi yang membuatkan rasa nasi itu berlemak. Nasi lemak biasanya dihidangkan dengan telur, timun, ikan bilis goreng ,kacang goreng dan sambal. Kini, pelbagai hidangan disajikan bersama nasi lemak seperti ayam, daging, sotong, udang, limpa dan hati lembu.