Pemetaan geologi merupakan tugas asas JMG bertujuan menyediakan sebuah peta geologi yang lengkap bagi sesuatu kawasan pada skala yang sesuai. Aktiviti pemetaan geologi dimulakan sejak Jabatan ditubuhkan (1903) dan sangat aktif selepas kemerdekaan. Pada masa ini pemetaan geologi dilaksanakan mengikut prioriti iaitu di kawasan cadangan pembangunan dan kawasan berpotensi mineral.
Pemetaan Geologi Rantau: Pemetaan geologi bersistem pada skala 1:50,000 bagi kawasan yang belum dipetakan dan skala 1:250,000 bagi kawasan yang telah dipetakan. Pemetaan ini bertujuan bagi mendapatkan maklumat asas geologi dan sumber mineral sesuatu kawasan.
Pemetaan Geologi Warisan: Menjalankan pemetaan geologi warisan untuk mengenalpasti geotapak dan geotop yang mempunyai nilai-nilai estetik yang boleh dikekalkan untuk diwarisi oleh generasi akan datang serta dimajukan secara mapan sebagai sebuah geopark.
Pemetaan Geologi Marin: Pemetaan geologi marin di kawasan-kawasan perairan terpilih berasaskan keperluan semasa terutama kawasan potensi sumber pasir dan mineral, kawasan pembangunan zon pantai dan untuk meningkatkan baseline data di perairan pelantar benua.
Pemetaan Geologi Khusus: Pemetaan bagi kawasan tertentu yang memerlukan maklumat geologi yang terperinci khususnya untuk kajian tapak dan forensik bencana geologi seperti tapak projek pembangunan (seperti Putrajaya dan KLIA), tapak empangan dan tapak geobencana.
Kaedah Pemetaan Geologi
Pemetaan geologi dijalankan dengan membuat cerapan singkapan batuan di lapangan serta dibantu oleh interpretasi imej satelit dan gambar udara. Kaedah geofizik dan penggerudian akan digunakan bagi mengetahui ciri-ciri geologi di bawah permukaan.