Pada penghujung tahun 1931, C.D.Adams (Residen Bahagian Ketiga) menghantar perwakilan berjumpa Asun. Residen menjemput Asun ke Sibu untuk berunding. Bagaimanapun Asun terus menentang dan menghasut orang Iban. Beliau mengirimkan lembing-lembing perang kepada ketua-ketua Iban di Bahagian Kedua dan Ketiga. Ini melambangkan Asun mahukan sokongan mereka. Kebanyakan yang tertarik menyertai Asun terdiri daripada golongan muda. Mereka lebih terdorong oleh semangat keperwiraan dan tradisi potong kepala. Ketegangan memuncak bila kerajaan Vyner Brooke mengecap Asun sebagai penderhaka dan Asun pula mengancam akan menyerang orang Eropah.