Di samping itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang unggul. Ibu bapa patut menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak kerana anak-anak akan mengikut jejak ibu bapa, ibarat peribahasa, “bapak borek anak rintik”. Mentelah lagi, sikap anak-anak yang gemar meniru perkara-perkara yang dilihat oleh mereka membuatkan mereka mudah terpengaruh tanpa memikirkan baik mahupun buruk. Tamsilnya, apabila ibu bapa bergiat dalam salah laku seperti merokok, minum air alkohol dan sebagainya, anak-anak juga akan terikut sama. Bagi mereka perkara yang dilakukan oleh ibu bapa, pastinya perkara yang baik-baik belaka. Lebih-lebih lagi, anak-anak belajar daripada perkara yang dilihat. Jika ibu bapa menunjukkan sifat egoistik, individualistik, materialistik dan sifat-sifat buruk lain, sudah tentu ibu bapa akan mencanai generasi muda yang tidak berakhlak dan berbudaya sumbang. Ringkasnya, semua ahli keluarga harus menjadi yang terbaik untuk melahirkan individu yang berakhlak mulia.