Galeri ini menerangkan susur-galur evolusi pembentukan muka bumi dan asal-usul masyarakat awal di Malaysia khususnya menerusi jumpaan alat batu Zaman Paleolitik (200,000 tahun dahulu) sehinggalah penemuan artifak-artifak peninggalan Hindu-Buddha di Lembah Bujang pada zaman Proto Sejarah. Antara koleksi lain yang diperagakan termasuklah pelbagai jenis tembikar Zaman Neolitik, barang-barang perhiasan seperti gelang batu, anting-anting kulit siput serta manik- manik yang digunakan sebagai barang dagangan. Salah satu artifak berharga yang dipamerkan ialah loceng Dong Son yang bertarikh 150 tahun Masihi.
Koleksi lain yang menarik di galeri ini termasuklah replika rangka Perak Man (Manusia Perak) yang bertarikh antara 10,000 hingga 11,000 tahun dahulu yang ditemui di Gua Gunung Runtuh, Lenggong, Perak. Rangka manusia ini merupakan rangka manusia tertua dan hampir lengkap yang ditemui di Asia Tenggara. Selain itu, pelbagai jenis kaedah pengkebumian masyarakat silam turut dipaparkan seperti pengkebumian tempayan, keranda kayu balak dan kubur kepingan batu bagi mendedahkan sistem ritual atau kepercayaan, mahupun struktur organisasi sosial masyarakat pada masa itu.