Peluang pekerjaan semakin bertambah apabila lebih banyak bidang perindustrian diterokai di negara kita. Lebih-lebih lagi, penduduk luar bandar turut mendapat manfaat daripada bidang perindustrian. Contohnya, industri kecil dan sederhana seperti industri pembuatan tembikar, perusahaan keropok lekor dan perusahaan kraf tangan dapat membuka peluang pekerjaan untuk penduduk di luar bandar dan sekali gus meningkatkan pendapatan mereka. Keadaan ini dapat mengikis kehidupan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hal ini jelas menunjukkan bahawa taraf hidup rakyat boleh ditingkatkan secara menyeluruh dengan adanya sektor perindustrian.