‘1Malaysia‘ kini adalah antara slogan paling kerap dan meluas disebut-sebut di seluruh negara dari Sabah hingga Perlis oleh segenap lapisan masyarakat dan kumpulan etnik.
Tahap kesedaran terhadap gagasan cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertujuan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia, boleh dikatakan cukup tinggi.
Berdasarkan kajian yang dijalankan, penerimaan masyarakat terhadapnya mencapai tahap 86.3 peratus pada tahun lalu, sekali gus menunjukkan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata statistik itu diperoleh melalui kaji selidik yang dijalankan terhadap 22,541 responden pelbagai kaum di seluruh negara.
Tahap penerimaan masyarakat itu melebihi 1.3 peratus Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kementerian berkenaan iaitu 85 peratus.
Kajian Penerimaan dan Pengamalan Masyarakat Terhadap Gagasan 1Malaysia 2011 itu dilaksanakan oleh Cawangan Penyelidikan KPKK, Jabatan Penerangan, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Nampaknya konsep 1Malaysia, setelah tiga tahun diperkenalkan oleh kerajaan, kini berada pada landasan kukuh sebagai teras utama memacu negara mencapai status negara maju menjelang 2020.